MELAKA: Kerajaan Melaka sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi mendapatkan penempatan baharu untuk peniaga Kampung Jawa yang diarah berpindah keluar dari tapak sedia ada pada 31 Mei ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata perbincangan itu termasuk dengan pihak UDA Holdings Berhad (UDA) bagi mengenal pasti tapak bersesuaian di Kampung Morten untuk memindahkan peniaga terlibat.

"Sebelum ini, kita berunding dengan pemaju (pemilik tanah) namun mereka belum kembali kepada kita sama ada mereka bersetuju mewujudkan penempatan baharu untuk peniaga terlibat.

"Dalam masa sama kita juga sedang mengenal pasti kalau ada mana-mana tanah milik kerajaan di kawasan sekitar Kampung Jawa yang boleh dibangunkan bagi memindahkan peniaga berkenaan, namun kita tahu nilai tanah di kawasan itu sangat mahal harganya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pascabanjir Kerajaan Negeri Melaka ke Johor yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron.

Zaidi berkata dalam perbincangan antara kerajaan negeri bersama peniaga Kampung Jawa yang diadakan sebelum ini juga, mereka ditawarkan tapak perniagaan di Dataran Pahlawan namun peniaga tersebut tidak bersetuju.

Beliau berkata mereka tidak mahu dipindahkan di luar kawasan Kampung Jawa kerana lokasi di kampung itu merupakan antara kawasan beli-belah bagi golongan B40 mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

Sebelum ini, media melaporkan Kampung Jawa yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lepas akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu.

Walaupun beroperasi di lorong sempit, kawasan perniagaan yang menempatkan lebih 10 peniaga itu bukan sahaja dikenali dalam kalangan rakyat Melaka, malah dari luar negeri ini dan turut menjadi tumpuan ketika musim cuti umum.

Mengenai Misi Bantuan Pascabanjir Kerajaan Negeri Melaka ke Johor, katanya sebanyak 44 kenderaan dan satu treler membabitkan 203 sukarelawan daripada sembilan agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya MBMB, MPHTJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Mamee terlibat dalam misi kali ini.

"Misi bantuan pascabanjir ke Johor kali ini akan mambantu penduduk terjejas banjir di Yong Peng khususnya di Kampung Parit Awang selama dua hari bermula hari ini termasuk membersihkan rumah mereka.

"Bantuan yang disampaikan berbentuk makanan kering, peralatan pembersihan, dapur gas mudah alih, serta pemasangan atau pemeriksaan elektrik untuk 100 keluarga yang terjejas banjir dengan nilai sumbangan hampir RM100,000," katanya.

-- BERNAMA